Friday, November 19, 2010

PuAsA sUNaT

PUASA SUNAT ( HARI 'ARAFAH )

Bilakah hari ‘Arafah? Apa dalil bagi kelebihan puasa hari ‘Arafah?

Hari ‘Arafah ialah hari sembilan Zulhijjah. Ia adalah hari terbaik sepanjang tahun kerana Nabi s.a.w. bersabda; “Tidak ada hari yang paling banyak Allah membebaskan hambanya pada hari tersebut dari neraka dari hari ‘Arafah” (Riwayat Imam Muslim).

Adapun disunatkan berpuasa pada hari tersebut, dalilnya ialah; hadis dari Abu Qatadah r.a. yang menceritakan; Nabi s.a.w. ditanya tentang puasa hari ’Arafah. Baginda bersabda; “(Puasa hari itu) dapat menghapus dosa tahun lalu dan yang akan datang” (Riwayat Imam Muslim).

Adakah sunat berpuasa pada hari ‘Arafah itu ada pengecualian?

Ya. Dikecualikan dari jamaah haji. Mereka tidak disunatkan berpuasa pada hari tersebut sebagai mencontohi Nabi s.a.w. dan juga untuk menjaga kekuatan bagi memperbanyakkan berdoa pada hari itu.

Maimunah isteri Rasulullah s.a.w. menceritakan; orang ramai ragu-ragu apakah Rasulullah s.a.w. berpuasa atau tidak pada hari ‘Arafah. Lalu ia (yakni Maimunah) menghantar kepada baginda satu bekas berisi susu tatkala baginda sedang berwukuf di Padang ‘Arafah itu. Lalu baginda meminum susu tersebut dengan dilihat oleh orang ramai kepadanya (Riwayat Imam Muslim).

Malah terdapat tegahan dari Nabi s.a.w. sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Hurairah r.a.; “Sesungguhnya Nabi s.a.w. menegah dari berpuasa pada hari ‘Arafah bagi jamaah haji yang berada di ‘Arafah” (Riwayat Imam Abu Daud, Ahmad, Ibnu Majah dan al-Hakim).

PUASA SUNAT ( HARI 'ASYURA )

Bilakah hari ‘Asyura? Apakah dalil disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyura’?

Hari ‘Asyura ialah hari sepuluh Muharram. Abi Qatadah r.a. meriwayatkan; Nabi s.a.w. pernah ditanya tentang berpuasa pada hari ‘Asyura? Baginda menjawab; “Puasa di hari itu akan menghapuskan dosa tahun yang lalu” (Hadis riwayat Imam Muslim).

Adakah kita juga disunatkan berpuasa pada sembilan Muharram?

Ya. Hari itu dinamakan Tasu’a. Dalil disunatkan berpuasa hari itu ialah hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Tatkala Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘Asyura dan memerintahkan agar para sahabat turut berpuasa, mereka bertanya; ‘Ya Rasulullah! Bukankah ia (yakni ‘Asyura itu) merupakan hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasara? Lalu baginda bersabda; “Tahun akan datang -dengan kehendak Allah- kita berpuasa pada hari ke sembilan”. Berkata Ibnu ‘Abbas; belum sempat tiba tahun hadapan, Rasulullah s.a.w. telah diwafatkan (Riwayat Imam Muslim).

Berdasarkan hadis ini, kita disunatkan berpuasa pada kedua-dua hari iaitu hari ke 9 dan hari ke 10 Muharram kerana Nabi s.a.w. telah berpuasa pada hari ke 10 dan berniat untuk berpuasa pada hari ke 9.


PUASA SUNAT ( HARI - HARI PUTIH )

Apakah fadhilat berpuasa pada hari-hari putih? Kenapa dinamakan hari-hari putih?

Diriwayatkan juga dari Qatadah bin Milhan (ملحان) r.a. yang menceritakan; “Rasulullah s.a.w. memerintahkan kami supaya berpuasa pada hari-hari putih iaitu hari ke 13, 14 dan 15 di mana baginda bersabda; ‘Berpuasa pada ketiga-tiga hari itu seumpama berpuasa sepanjang masa” (Riwayat Imam Abu Daud).

Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Abu Zarr r.a.; “Wahai Abu Zarr! Apabila kamu berpuasa tiga hari dari setiap bulan, maka berpuasalah pada hari ke 13, 14 dan 15”. (Riwayat Imam at-Tirmizi. Menurut beliau; hadis ini hasan soheh)

Hari-hari tersebut dinamakan sebagai “أيام البيض” (hari-hari putih) kerana pada malam-malamnya bulan mengambang dan cerah.


PUASA SUNAT ( NABI DAUD )
Apa yang dimaksudkan dengan puasa Nabi Daud a.s.? Apa fadhilatnya?

Puasa Nabi Daud a.s. bermaksud; puasa sehari dan berbuka sehari dengan mengecualikan hari-hari yang diharamkan berpuasa iaitu dua hari raya dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Dzul-Hijjah). Kelebihannnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya puasa yang paling disukai Allah ialah puasa Nabi Daud dan solat yang paling disukai Allah ialah solat Nabi Daud; beliau tidur separuh malam, bangun (mengerjakan solat) sepertiganya dan tidur semula sepernamnya. (Adapun puasa pula) beliau berpuasa sehari dan beliau berbuka (yakni tidak berpuasa) sehari” (Riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin ‘Amru r.a.).

No comments:

Post a Comment