Friday, December 24, 2010

SyiAH

ASAL-USUL SYIAH

Aliran syiah ini dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang Yahudi dari Yaman yang bernama Abdullah bin Saba’. Beliau telah menimbulkan fitnah dan menjadi ‘api dalam sekam’ di tengah-tengah kaum Muslimin di Madinah pada zaman Utsman bin Affan r.a.
Dia juga telah menjadi dalang dalam komplot untuk membunuh Khalifah Utsman. Setelah berlaku pembunuhan Utsman, dia bersama orang-orang dari Kufah dan Basrah yang terlibat dalam komplot tersebut telah membaiat Ali bin Abi Thalib r.a. sebagai khalifah.

Maka berlakulah fitnah yang dahsyat di kalangan kaum Muslimin sehingga berlaku pertembungan sengit di antara Khalifah Ali bin Abi Thalib serta az-Zubair dengan ‘Aisyah, Thalhah dan Mu’awwiyah. Juga rentetan daripada itu berlaku beberapa siri peperangan dan yang paling besar ialah Perang Jamal dan Perang Shiffin. Pertempuran tersebut berakhir dengan penerimaan tahkim daripada kedua-dua belah pihak.

Dalam peristiwa tersebut, Ali bin Abi Thalib r.a telah hilang haknya sebagai khalifah, lalu jawatan tersebut diambil oleh Muawwiyah r.a. Setelah melihat pelaksanaan tahkim yang berat sebelah itu, para pengikut dan tentera Ali bin Abi Thalib telah terpecah kepada dua golongan iaitu satu yang mempertikaikan Ali serta mengkafirkan mereka yang terlibat dalam penerimaan tahkim dan mereka ini dinamakan sebagai golongan Khawarij. Satu golongan lagi sangat taksub dan setia kepada Ali bin Abi Talib r.a. dan mereka inilah yang dinamakan sebagai golongan Syiah.

TAKRIF SYIAH IMAMIYYAH

Syi'ah Imamiyyah atau dikenali juga dengan nama ‘Syiah Dua belas’ (الاثنا عشرية) adalah sebuah kelompok umat Islam yang berpegang teguh kepada keyakinan bahawa Saiyidina Ali bin Abi Thalib r.a adalah lebih berhak mewarisi khalifah, berbanding Abu Bakar as-Siddiq, Umar bin al-Khattab, dan Utsman bin ‘Affan r.a.hum.
Ia dinamakan ‘Syiah Dua belas’ kerana mereka meyakini terdapat 12 Imam yang maksum dalam ajaran mereka. Imam yang terakhir menurut mereka – menghilang (ghaib), masuk dalam gua di Samara.
Mazhab Syiah ini bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah dalam pemikiran dan pendapat-pendapat mereka yang tertentu (terutamanya dalam perkara akidah dan hak mewarisi jawatan khalifah; Imamah). Mereka sangat bercita-cita untuk menyebarkan fahaman mereka itu ke seluruh dunia Islam.
Kalau kita melihat secara realitinya pada hari ini, golongan Syiah ini memiliki kuasa politik yang berpusat di Tehran setelah tertubuhnya Republik Islam Iran melalui revolusi pada Februari 1979 . Imam Khomeini yang memimpin gerakan muda dalam revolusi tersebut telah diangkat menjadi Pemimpin Republik yang pertama. Selain daripada itu, sebahagian besar pengikut fahaman ini terdapat di Iraq dan lain-lain negara seperti Pakistan, Syria dan Lubnan.

Dua Belas Imam Dalam Syiah Imamiyyah

12 Imam yang menjadi ikutan mereka adalah:
1. Ali bin Abi Thalib r.a, digelar (المرتضى) – ‘yang diredhai’, iaitu khalifah yang keempat dalam khulafa ar-Rasyidin, menantu Rasulullah saw. Imam Ali terbunuh di Masjid al-Kufah (di Iraq) di tangan Abdul Rahman bin Muljim pada tanggal 17 Ramadhan tahun 40 H.
2. Al-Hasan bin Ali r.a., digelar (المجتبى). (lahir 3H. - wafat50H.)
3. Al-Husin bin Ali r.a., digelari (الشهيد) –‘Yang mati syahid’. (lahir 4H. – wafat 61H.)
4. Ali Zainal Abidin bin Husin (lahir 38H – wafat 95H.), digelar (السجّاد) -“Yang banyak bersujud'.
5. Mohammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin (lahir 57H – wafat 114 H.) digelar (الباقر).
6. Jaafar as-Shadiq bin Mohammad al-Baqir (lahir 83H – wafat 148 H.) digelar (الصادق) –‘Yang benar’.
7. Musa al-Kadzim bin Jaafar as-Shadiq (lahir 128H – wafat 183 H.), digelar (الكاظم) -‘Yang mampu menahan diri’.
8. Ali ar-Ridha bin Musa al-Kadzim (lahir 148H - wafat 203 H.) digelar (الرضى) -‘Yang redha’.
9. Muhammad al-Jawwad bin Ali al-Ridha (lahir 195H – wafat 220 H.) digelari (التقي) - ‘Yang banyak taqwa’.
10. Ali al-Hadi bin Muhammad al-Jawwad (lahir 212H – wafat 254 H.) digelari (النقي) - ‘Yang suci bersih’.
11. Al-Hasan al-‘Askari bin Ali al-Hadi (lahir 232H – wafat 260 H.) digelari (الزكي) - ‘Yang suci’.
12. Muhammad al-Mahdi bin al-Hasan Al-‘Askari yang digelar (المنتظر) – ‘Imam yang dinantikan’. (lahir 256H. - ...?).

Mereka menyangka bahawa Imam yang ke-12 (Muhammad al-Mahdi bin al-Hasan Al-‘Askari) telah masuk ke dalam gua di rumah ayahnya di kota Surra Man Ra'a, dan tidak kembali. Ketika Imam ini menghilang, mereka berselisih pendapat tentang usianya, ada yang mengatakan 4 tahun dan ada juga yang berpendapat 8 tahun. Tetapi kebanyakan pengkaji berpendapat bahawa Imam itu sama sekali tak pernah wujud pada asalnya. Sesungguhnya ia adalah suatu yang direka-rekakan oleh golongan Syi'ah. Kemudian mereka mengelarkan ia sebagai –‘Imam yang tidak wujud’.

Siapakah Imam al-Hasan al-‘Askari?

Berbalik kepada soalan Sdr. Ezam tentang siapakah Imam al-Hasan al-‘Asykari? Kekeliruan ini timbul bila mana beliau telah mendapati segolongan pengikut meraikan tarikh kelahirannya di Malaysia. Ini membuktikan bahawa pengikut ajaran Syiah Imamiyyah ini sememangnya wujud di tanah air kita.

Menurut pengikut Syiah ini, mereka meyakini bahawa Imam al-Hasan al-‘Asykari telah menghilang (ghaib) dan akan kembali pada akhir zaman dengan membawa serta menyinari dunia ini dengan cahaya dan keadilan. Dia juga digelar ‘Imam az-Zaman’.
[rujuk At-Ta’riif biMadzahib as-Syiah al-Imaamiyyah, hal-13 - Dr. Mohammad Ahmad at-Turkamani]

Juga disebutkan dalam kitab ‘Aqaid al-Imamiyyah (hal.67-68) bahawa:
“Sesungguhnya mereka yang berpegang dengan Imamiyyah mengambil apa yang datang daripada Ahli Bait (keturunan Rasulullah) ‘alaihimus-salaam, bahawa Allah Ta’ala mengembalikan suatu kaum setelah mereka mati ke dunia ini dengan rupa bentuk mereka seperti mana keadaan mereka dahulu.”

Maka inilah iktikad mereka tentang kebangkitan semula Imam al-Hasan al-‘Askari pada suatu masa nanti. Berkenaan dengan ajaran bahawa seseorang imam itu ghaib dan tidak mati, Imam al-Khomeini pernah menyatakan dalam kitabnya al-Hukumah al-Islamiyyah (hal.26):
“Sesungguhnya Imam kita al-Mahdi telah melalui zaman ghaibnya selama lebih seribu tahun. Berkemungkinan akan berlalu beribu-ribu tahun lagi sebelum berlakunya maslahah dengan kedatangan ‘Imam yang dinantikan’ (itu) ..”

Pemikiran dan Pegangan Mereka Yang Sesat

1. Imamah (Pelantikan Imam-pemimpin): Harus dibuat secara nas (iaitu) imam terdahulu wajib menentukan imam penggantinya secara nas (tekstual) dan ditunjukkan secara terus orang tersebut, bukan dengan hanya menyatakan sifatnya. Imamah merupakan perkara yang sangat penting, ianya tidak boleh dipisahkan antara Rasulullah saw dengan umat dan tidak boleh dibiarkan sesiapa sahaja memberikan pendapatnya tentang imamah (jawatan khalifah) secara sesuka hati. Maka kerana itulah harus ditentukan seseorang yang menjadi tempat bertanya dan rujukan. Mereka berdalil, bahawa dalam perkara imamah, Rasulullah saw telah menentukan Ali bin Abi Thalib r.a. menjadi imam setelah baginda wafat secara nas (lafaz) yang jelas pada hari ‘Ghadir Kham’. Kisah ini tidak sabit di sisi para ulama hadis daripada kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah.
Mereka juga menyangka bahawa Ali r.a. juga telah menentukan kedua anaknya iaitu Hasan dan Husin secara nas (untuk menjadi Khalifah;Imam) dan begitulah seterusnya, bahawa setiap imam menentukan imam berikutnya dengan wasiat daripadanya. Mereka itu disebut "Aushia" (penerima wasiat).
2. 'Ishmah : Setiap imam terpelihara (maksum) dari segala kesalahan, kelalaian, dan melakukan dosa, sama ada dosa besar atau pun dosa kecil.
3. `Ilmu Ladunni: Setiap imam diberikan ilmu dari Rasulullah saw untuk menyempurnakan syariat Islam. Imam memiliki ilmu ladunni dan tidak ada perbezaan antara imam dengan Nabi saw, hanya yang membezakannya adalah dia (imam) tidak mendapat wahyu. Nabi saw. telah memberikan kepada mereka rahsia-rahsia syariat Islam, agar mereka mampu memberikan penjelasan kepada manusia sesuai dengan keperluan zamannya.
4. Perkara-perkara yang luar biasa : Peristiwa yang luar biasa boleh terjadi pada diri imam. Ianya disebut sebagai ‘mukjizat’. Jika tidak ada satu nas dari imam sebelumnya (untuk menentukan pengantinya), maka dalam keadaan seperti ini penentuan imam mestilah berdasarkan ‘sesuatu yang luar biasa’ itu (‘mukjizat’ yang ada pada seseorang imam).
5. Al-Ghaibah (Menghilang) : Mereka berpendapat bahawa satu-satu zaman itu tidak pernah sunyi daripada satu hujah bagi (membuktikan kebesaran) Allah, sama ada dari segi akal mahu pun syarak. Maka kerana itulah mereka mengatakan bahawa Imam yang ke-12 telah menghilangkan diri (ghaib) di sebuah gua sebagaimana yang mereka sangkakan bahawa imam tersebut memiliki ‘ghaibah shughra’ dan ‘ghaibah kubra’. Ini adalah salah satu mitos mereka.
6. Raj'ah (kemunculan semula): Mereka meyakini bahawa Imam al-Hasan Al-‘Askari akan datang kembali pada akhir zaman ketika mana Allah mengizinkannya untuk keluar. Oleh kerana itu, sebahagian mereka akan berdiri di depan pintu gua itu pada setiap malam selepas solat Maghrib dan mereka menyediakan sebuah kenderaan lalu mereka menyeru namanya dan memanggilnya supaya keluar sehinggalah larut malam dan mengulanginya Iagi perbuatannya itu pada malam berikutnya. Mereka berkata, bahawa ketika kembali, imam itu akan memenuhi bumi dengan keadilan, sebagaimana bumi ini pernah dipenuhi oleh kekejaman dan kezaliman. Ia akan menentang musuh-musuh Syiah sepanjang sejarah. Syiah Imamiyyah ini benar-benar berkata bahawa Imam itu pasti akan datang kembali, bahkan sebahagian mazhab-mazhab Syiah yang lainnya menyatakan, bahawa sebilangan imam-imam yang telah mati pun akan datang kembali.
7. Taqiyah (menyembunyikan iktikad dan menzahirkan penipuan): Mereka menganggap ia (taqiyah) sebagai salah satu usul dalam agama. Barang siapa yang meninggalkan taqiyah, sama keadaannya dengan meninggalkan solat. Taqiyah adalah suatu kewajipan yang tidak boleh dihapuskan, sehinggalah datang (imam) yang berkuasa. Barang siapa yang meninggalkannya sebelum ia datang, maka ia telah keluar dari agama Allah dan dari agama Imamiyyah. Mereka mengambil dalil daripada firman Allah : ”..kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka”
(Ali Imran:28)
Ia turut dikaitkan dengan Imam Abu Jaafar (Mohammad al-Baqir), Imam yang kelima, dengan ucapannya : "Taqiyah adalah agamaku dan agama nenek moyangku. Tiada iman seseorang yang tidak memiliki taqiyah".
Mereka memperluaskan pemahaman taqiyah itu sehingga kepada batas dosa besar.
8. Mut'ah : Mereka berpandangan bahawa menikahi wanita secara mut’ah adalah perbuatan yang baik dan cara yang paling afdal untuk mendekatkan diri kepada Allah berdasarkan kepada ayat :
“Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah).” (An-Nisa’: 24)
Padahal Islam telah mengharamkan sistem perkahwinan tersebut. Suatu perkahwinan yang menetapkan syarat waktu tertentu (berkahwin untuk sehari, seminggu, sebulan dan seterusnya), yang menurut Ahli Sunah wal-Jamaah, dalam perkahwinan wajib berniat untuk mengekalkannya (perkahwinan). Perkahwinan mut’ah mempunyai banyak kesan yang negatif di tengah-tengah masyarakat kerana itu ianya diharamkan.
9. Mushaf (Al-Quran) yang lain: Mereka berpegang dengan adanya mushaf versi mereka, yang dinamakan ‘Mushaf Fatimah’. Imam al-Kulaini dalam bukunya, "Al-Kafi", halaman 57, cetakan tahun 1278 H, ia meriwayatkan dari Abi Bashir, (Jafar as-Sadiq): "Sesungguhnya kami mempunyai Mushaf Fatimah ‘alaiha as-salam. Aku telah bertanya: “Apakah itu Mushaf Fatimah?” Ia berkata : Sebuah Mushaf yang isinya seperti Quran kamu 3 kali ganda. Demi Allah, tidak ada padanya satu huruf pun isinya dari Quran kamu".
10. Berlepas diri : Sesungguhnya mereka berlepas diri daripada ketiga-tiga orang khalifah (iaitu) Abu Bakar, Umar, dan Utsman dan mencela mereka dengan sifat-sifat yang sangat keji. Kerana menurut sangkaan mereka – ketiga-tiga orang khalifah itu telah merampas takhta khalifah dari orang yang paling berhak untuk menerimanya (Ali bin Abi Thalib). Mereka juga melaknat Abu Bakar dan Umar r.a.huma, sebagai ganti daripada membaca "Basmalah" ketika memulakan sesuatu amalan yang baik. Mereka juga tidak segan silu untuk melaknat sebahagian besar para sahabat Rasulullah saw dan tidak ketinggalan pula untuk melaknat dan menghina Ummul Mukminin 'Aisyah r.’anha.
11. Melampau : Sebahagian mereka sangat melampau dalam membesarkan peribadi Ali bin Abi Thalib r.a. Malah orang-orang Syiah yang melampau ini mengangkatnya sampai pada darjat ‘ketuhanan’ seperti mazhab ‘Sabaisme’. Sebahagian mereka ada yang berpendapat, bahawa Jibril telah melakukan kesilapan dalam menyampaikan risalah (wahyu), lalu diturunkannya kepada Muhammad saw sebagai ganti daripada Ali r.a. kerana Ali r.a. itu hampir serupa dengan Rasulullah saw. seperti serupanya seekor burung gagak (ghurab) dengan gagak yang lain. Oleh yang demikian, mereka yang seperti itu disebut Ghurabiyyah.
12. Hari Raya Ghadir Kham : Ia adalah hari raya bagi mereka yang jatuh pada tanggal 18 Zulhijah. Mereka memuliakan hari ini lebih daripada Aidiladha dan Aidilfitri. Hari itu disebut Hari Raya Agung (Akbar). Bagi mereka, berpuasa pada hari itu hukumnya sunat muakkad. Pada hari itu, menurut dakwaan mereka, bahawa Rasulullah saw telah mewasiatkan jawatan khalifah kepada Ali r.a. untuk menggantikan baginda.
13. Mengagungkan Hari Nairuz, iaitu hari tahun baru bagi bangsa Parsi. Sebahagian mereka mengatakan, bahawa mandi pada hari itu adalah sunat.
14. Mereka juga mempunyai ‘Hari Raya’ yang disambut pada tanggal 9 Rabiulawal, iaitu hari raya "Bapa" mereka "Baba Syuja'uddin", suatu gelaran kepada "Abu Lu'lu'ah Al Majusi" yang telah membunuh Umar bin al-Khattab r.a. 15. Sambutan perayaan pelbagai jenis pesta hiburan, kematian, kesedihan, berfotografi, dan menepuk-nepuk dada, dan perbuatan-perbuatan terlarang lainnya yang dipertunjukkan oleh mereka pada 10 hari pertama bulan Muharam, dengan keyakinan bahawa itu semua adalah ‘ibadat’ untuk mendekatkan diri kepada Allah, dapat menghapuskan dosa dan kesalahan mereka; dan barang siapa yang menziarahi mereka pada pameran suci di Karbala, Najav, dan Qum .. pasti akan dapat melihat perkara yang aneh daripada sekalian perkara-perkara yang aneh.

Penutup

Begitulah serba sedikit tentang mazhab Syiah Imamiyyah ini dan fahaman-fahaman sesat yang menjadi iktikad mereka. Persoalannya macam mana kau boleh jumpa diorang ni kat Malaysia? Sebab mereka ni memang begitu berhati-hati dan menyembunyikan pergerakan mereka daripada pengetahuan umum.
Sdr. Ezam bolehlah menghubungi pihak berkuasa bagi membanteras pergerakan golongan ini daripada menyesatkan umat Islam di tanah air kita. Kerana perbuatan mencela para sahabat boleh menjatuhkan kita ke lembah kekufuran. Semoga Allah memelihara akidah kita daripada sebarang anasir yang menyesatkan dan mudah-mudahan kita dimatikanNya dalam keadaan Iman yang sejahtera. Amin.

No comments:

Post a Comment